Walaupun lagu Bencinta layak ke final AJL24, tetapi ramai mengatakan Shila telah merosakkan lagu itu

on Saturday, December 5, 2009


SHILA memohon maaf kepada peminat Faizal kerana gagal menyampaikan lagu Bencinta dengan sempurna.

Tirai separuh akhir Anugerah Juara Lagu Edisi Ke-24 (AJL24) telah pun berlabuh pada 20 November lalu dengan 14 buah lagu telah disenaraikan ke peringkat final pada 10 Januari depan di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Namun, masih ada yang kurang senang apabila lagu Bencinta ciptaan Faizal Tahir dan Audi Mok yang sepatutnya dinyanyikan oleh Faizal pada malam terakhir separuh akhir AJL24 dinyanyikan oleh penyanyi muda, Shila.

Semuanya gara-gara Faizal dimasukkan ke hospital disebabkan menghidap jangkitan kuman pada parau-paru atau pneumonia.

Selepas persembahan Shila di separuh akhir AJL24, ramai pihak mendakwa keputusan pihak pengurusan Faizal, Monkey Bone memilih Shila menggantikan Faizal adalah tidak tepat kerana dia dikatakan merosakkan lagu itu meskipun lagu Bencinta layak untuk bertanding di peringkat final.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Mungkin itulah yang dihadapi oleh Shila. Persetujuannya dalam masa yang singkat menggantikan tempat rakan serta idolanya diakhiri dengan kecaman.

Menyelami perasaan anak dara kepada penyanyi N.D Lala yang baru berusia 19 tahun itu sememangnya hatinya terluka menerima kecaman yang melampaui batas. Namun tidak semua orang tahu apakah sebenarnya terjadi sebelum malam pertandingan separuh akhir AJL24 berlangsung. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Shila.

Kosmo!: Walaupun lagu Bencinta layak ke final AJL24, tetapi ramai mengatakan Shila telah merosakkan lagu itu. Apa komen Shila?

Shila: Saya bukan Faizal, tidak adil untuk membandingkan saya dengannya yang mempunyai vokal hebat. Saya mengaku diri saya tidak sempurna tetapi saya sudah buat yang terbaik. Itu pandangan masing-masing nak kutuk saya atau puji, saya tidak kisah. Kalau kritikan keluar daripada mulut mereka yang mempunyai ilmu muzik, saya hormatinya. Tetapi kalau komen keluar di blog dan forum di Internet, ia tidak boleh dipakai. Saya lebih suka komen yang berfakta berserta bukti dan kata-kata yang memberi tunjuk ajar untuk saya tingkatkan diri.

Apabila dikritik teruk sebagai penghancur lagu tidakkah Shila rasa ia menjejaskan reputasi Shila sebagai seorang penyanyi?

Saya tidak pernah rasa itu satu kekurangan dan saya tidak pernah menyesal dengan apa yang saya buat. Saya ambil ia dari sudut positif, mungkin ini titik tolak untuk saya menjadi lebih baik. Bukan semua orang sukakan saya dan bukan semua orang bencikan saya juga. Terpulanglah.

Maknanya, Shila tidak kisah dikutuk teruk?

Begini, bagi saya lebih bagus orang berkata sesuatu tentang diri saya daripada tidak ada langsung. Itu menunjukkan orang mengambil berat dan perhatikan apa yang saya lakukan. Saya faham perasaan peminat Faizal yang kecewa apabila melihat saya di atas pentas bukannya Faizal. Kalau diberi masa yang cukup saya yakin boleh buat lebih baik.

Apakah perasaan Shila bila dianggap sebagai penghancur lagu?

Sebagai manusia biasa tipulah kalau saya tidak terasa langsung. saya berfikiran positif. Buat apa nak peningkan kepala dengan mereka yang bercakap dengan bahasa yang rendah.

Boleh ceritakan apa sebenarnya yang berlaku sepanjang proses sebelum hari pertandingan?

Hari pertandingan itu adalah pada Jumaat (22 November) dan saya dapat tahu tentang pemilihan menggantikan Faizal pada Rabu malam. Esoknya pada hari Khamis saya hanya sempat buat latihan sekali, sound check sekali dan dua kali raptai. Jumaat terus nyanyi. Lagu itu lagu lelaki dan saya akui lagu itu memang susah.

Kalau begitu mengapa masih terima untuk menggantikan Faizal?

Apabila pihak Monkey Bone menghubungi saya meminta untuk menyanyikan lagu Bencinta mula-mula saya agak berat tetapi fikir balik apa salahnya. Saya pun sukakan lagu itu dan Faizal antara orang yang rapat dengan saya.

Apa komen Faizal dan Audi Mok sejurus Shila menyanyikan lagu Bencinta di separuh akhir AJL24?

Faizal ada hubungi saya satu jam sebelum persembahan dia ada pesan pada saya jangan tertekan dan minta saya jadi diri sendiri serta nyanyikan lagu itu dengan cara saya sendiri. Audi ada hubungi saya selepas persembahan dan katakan tahniah kerana dia dapat dengar lagu Bencinta versi wanita yang berbeza. Bagi saya kalau penciptanya sendiri sudah cakap begitu, komen yang lain tidak perlu diambil peduli.

Jika ditakdirkan Shila yang akan membawakan lagu Bencinta pada final nanti adakah Shila sudah bersedia?

Saya tidak boleh cakap sekarang kerana menyerahkan semuanya pada Monkey Bone. Saya doakan agar dia cepat sembuh, harap dia yang akan menyanyi di pentas final sebab saya salah seorang peminatnya, lagu itu memang berbeza kalau dia yang menyanyikannya. Tetapi kalau kena ganti saya tidak keberatan.


iskandarX: Kira ok la Shila boleh ganti tempat Faizal Tahir tu. Kalau tak da shila sape nak ganti??

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment